Showing posts with label Cerpen. Show all posts
Showing posts with label Cerpen. Show all posts

11.12.14



Dia selfie tayang cleavage, post di Instagram dan dapat 200 likes dalam masa 2 jam.

Kau tengok IG dia, dan dalam diam kau cemburu (sikit), sebab dia dapat 200 like.

So, kau pun nak jugak selfie tayang cleavage. Kau nak jugak tau, samada saham lurah dendam kau setinggi atau lebih tinggi dari dia.

Snap! snap! snap!

Dan selepas kau gunakan segala kemahiran fotografi yang kau ada (atau dengan kata lain, memulas otak selama 15 minit untuk memilih antara 5 filter terbaik yang kau selalu gunapakai selain filter Magic Skin yang sememangnya wajib), kau pun klik butang Post.



Berdebar rasa hati kau lepas kau post selfie tu, dengan harapan kau dapat lagi banyak like dari dia. Dan nampaknya nasib menyebelahi kau! Sebab mungkin kawan-kawan kau lebih ramai dari kawan-kawan dia, so kau dapat 300 likes dalam masa 2 jam! Kau terus draw conclusion yang cleavage kau lebih diminati dari cleavage dia. Pergh. Best sungguh perasaan kau masa tu. Post kau siap dipenuhi komen dari abang-abang sakai internet, dengan ucapan seperti "Mmmm dapnyewww" dan "Wow tq belanja". Kau marah (sikit) tapi suka (banyak) bila kau baca komen abang-abang sakai internet tu.

Malam tu, kau tidur bak berada di awang-awangan. Sesekali kau terbangun, dan terus check phone kau. Manalah tau ada follower yang baru tengok post kau dan like atau comment lagi.

Esoknya, dia discover yg kau dapat 300 likes dengan aksi mirip post dia. Dia tak puas hati. Mana boleh kau dapat lagi banyak like. Tiru post dia pulak tu. So now, dia determined nak kalahkan kau. Dia dapat idea baru. Kali ni dia selfie tayang cleavage sambil selak baju dan menampakkan perutnya yang toned sebab dia selalu pergi gym. Dapat 500 likes.

Bila kau tengok post dia tu, kau geram. Memang kau sangat tak puas hati. Benci. Kalau boleh kau nak toreh-toreh je perut dia.

Lepas tu kau selak baju tengok perut kau. Boroi. Macam perut dugong. Malulah kalau selfie tayang perut boroi. Nanti orang tak like. So now, kau pulak determined. Kau pun bertekad nak gunakan masa petang tu sehabis baik dengan buat sit-up, tapi lepas berhempas pulas kau larat buat 8 rep je, lepas tu perut kau cramp. Ciss, memang tension gila. Kau pun duduk termenung sedih sambil memikirkan nasib kau.

Last-last kau ambik phone, berdiri depan cermin, selak baju nampakkan perut, tahan nafas, tunduk sikit nampakkan lurah dendam, and snap! snap! snap!

Sebelum kau post, kau taip caption sambil di sudut bibir kau terukir sebuah senyuman puas: "Had a great workout today. My body is a wonderland! #fitness #getfitordietrying #workout #workinprogress"

Dan Abah kau, bila dia nampak post Instagram kau, terus mengilai bak langsuir jantan sambil mengurut-ngurut janggutnya tanda gembira.


Posted on Thursday, December 11, 2014 by AK

No comments

13.9.10

Cerita ini hanya rekaan aku semata-mata. Tak ada kena mengena langsung dengan aku, kau, dia atau sesiapa saja yang masih hidup, yang telah mati mahupun yang sedang nazak. Semoga Tuhan mengampunkan dosa kita semua.


Dia kata aku yang salah.
Aku kata dia yang salah.
Dia kata aku mengongkong.
Aku kata dia murah.
Dia kata dia dah tak larat lagi nak layan karenah aku.
Aku kata baguslah kalau macam tu.
Dia suruh aku pergi mampus.
Aku suruh dia pergi dulu.
Dia jerit, “Fuck you!”
Aku pekik, “Fuck you right back!”

BLAMM!
Dia hempas pintu.

ZRAPP!
Dan secara automatik mataku terus melekat pada pintu kayu tu.

Sepi..

Lama aku tenung pintu tu. Kalau aku Superman dah lama pintu tu berlubang terkena panahan tenungan aku ni. Yang kedengaran hanyalah nafasku yang turun naik, bagaikan seekor lembu nazak di pagi Aidiladha.

Sepi lagi..
…
…..
……..?

Lapan minit berlalu. Dia tak patah balik. Pintu kayu tu masih tertutup rapat. Nafasku semakin tenang. Bara amarahku pun dah semakin kebah. 

Rupanya kali ni betul-betul dia pergi. Dan aku tak dapat buat apa-apa. Malas untuk buat apa-apa.

Sebenarnya amarah ini dah lama mebuak-buak dan berkeladak dalam benak hati aku ni. Dan malam ni memang masa yang paling sempurna untuk aku buka pintu amarahku dan hadiahkan dia seketul dua baranya. 

Semua orang tahu betapa aku sayangkan dia. Aku berubah kerana dia. Dulu aku memang pantang nampak gadis bermuka jambu, berdada sihat, berambut karat.  Memang akan menjadi kewajipan aku pada waktu itu untuk mencuba nasib. “Dan biasanya nasib menyebelahi aku!” bisik hatiku meluahkan monolog penuh riak yang membuatku tersenyum mengurut janggut (juga penuh riak) di depan cermin.

Dulu aku tak pernah ada awek.

Aku ada awek-awek.

Dulu aku tak pernah terlangkup dengan cinta. Aku tak pernah kalah dengan mainan cinta gadis Kuala Lumpur. Sebab aku tahu semanis manapun madu cintanya, ia boleh bertukar menjadi racun sekelip mata. Atau mungkin semalaman. Apa-apa pun, aku tak pernah biarkan diriku terlalu mencintai seorang gadis. Dah ramai sahabat handai aku yang jatuh terjelepuk ke tanah kerana percayakan cinta gadis berdahi licin. Waktu itu aku pangkah cinta sejati. Aku rasa jijik hanya memikirkan konsep cinta sejati itu sendiri. Padaku cinta sejati tu tak wujud. Hanyalah tirai ilusi yang menutup fitrah manusia yang perlu melampiaskan nafsu dan meneruskan rantaian genetiknya.

Tapi selepas riwayat hidup aku bertemu dengan riwayat hidupnya, paksiku langsung berubah. Aku setia padanya. Aku sayangkan dia. Saat itu aku cukup yakin cinta sejati itu memang benar-benar wujud. Tak pernah ku sangsi walau senafas. Mungkin sebab waktu itu aku lihat dia lain dari yang lain. Aku betul-betul dilamun cinta, sehingga aku biarkan rasa cinta itu membodohkan aku.

Lima tahun aku berkongsi pahit, manis, perit, tawar, masam, payau dan segala macam rasa lagi dengannya. Lima tahun bukan sekejap. Kalau tempoh hubungan kami dizahirkan sebagai manusia, umur lima tahun dah kira besar. 

Dah pandai berlari.
Dah pandai bercakap.
Dah pandai mencarut tunjuk jari tengah pada kakaknya.
Dah pandai curi duit syiling dari tabung emaknya.
Dah boleh makan libasan rotan ayahnya.
Lama lima tahun tu…
Dan aku biarkan ia berakhir begini?

“Ahhh! Aku tak boleh biarkan memori manis bak air soya itu menguasai fikiranku!”

Sesekali aku berbicara dengan kipas buruk berhabuk yang memekak di atas meja. 
Bodoh!
Eh, bukan kau yang bodoh, wahai kipas.
Dia. Dia yang bodoh.
Sebab kau masih kipas mejaku yang akan ku sayang sampai akhir hayat.
Walaupun bunyi pusingan bilahmu yang membingitkan gegendang telingaku seakan-akan memberiku petanda yang hayatmu tinggal beberapa bulan saja lagi, usah kau bimbang wahai kipas mejaku.

Yang pasti kau lebih mulia dari dia.
Kau setia.
Dia tidak.
Kau tak perlu pergi dariku.
Dia harus pergi.
Berapa lama lagi aku boleh terus hanyut dalam kedayusan, wahai kipas.

Sudah beberapa kali aku terserempak dengannya bersama lelaki lain di Bukit Bintang, di kelab malam dan merata tempat lagi. Katanya mereka hanya teman biasa, tak pun abang angkat. Tapi setelah aku congak balik, adalah dalam 17 orang abang angkat kesemuanya. Nak kata dia anak yatim, tak jugak. Sebab ibu ayahnya masih hidup sihat walafiat. Dan nama bapanya pun Karim, bukannya Yatim. Tapi ramai pula abang angkatnya. Memang tak masuk akal.

Tapi selama ni pun aku buat bodoh saja. Jarang sekali aku mempersoalkan kehidupan sosialnya. Bila dah sayang, seboleh-bolehnya kita nak elakkan konfrantasi. Takut bercerai-berai. Hempedu pun boleh jadi manis jika berkuahkan cinta dan sayang, betul?

Tapi setelah lama aku simpan api amarah, malam ni habis ku luahkan segalanya. Malam ni aku juara. Malam ni aku berjaya ingatkan dia siapa aku. Aku berjaya atasi kedayusan yang dah bertahun-tahun mengatasi aku. Malam ni aku kembali.

Persetankan cinta sejati!
Persetankan engkau!
Heh..
Tak mati lah kalau kau tak ada.
Esok.
Esok aku akan cari awek baru.
Eh bukan..
Esok aku akan cari awek-awek baru.
Hmm.
…
…
“Hello Jasmine! How are you lah? Yeah I know!! It’s been too long right?! Say, what are you doing tomorrow evening?"

-END-

Posted on Monday, September 13, 2010 by AK

No comments

30.8.10

Dunia ini luas, tapi aku tak pernah mahu keluar dari kotak ini. Liat untuk melepasi batas-batas yang selama ini membendung aku. Aku rasa terlalu malas untuk beralih dan keluar dari kotak ini. Terlalu tegarnya, terlalu selesanya aku di sini telah membuatkan mindaku jumud, tepu dan lalai. Membuatkan pandanganku kabur, malah mungkin buta untuk mengorak langkah keluar dari kotak ini.

Tapi secara tidak sedar, aku bangga berada di dalam lingkungan kotakku. Aku angkat, aku julang persepsi yang ianya kotak yang sangat hebat, walhal begitu terbatas dan sempit ruangnya. Tapi aku tak pernah peduli itu semua. Di mataku, kotak ini memang hebat dan aku tidak kan berganjak keluar dari keselesaan yang ia tawarkan selama ini.

Lalu jika ada di antara mereka yang mahu menyedarkan aku hakikat terlalu sempitnya kotakku ini, aku anggap ia lawan bukan kawan. Aku dengan senang akan menganggap ia sesat.

Tapi benarkah ia sesat? Ataupun jalannya lebih terang dari jalanku? Hah, mana mungkin! Kerana sudah lama kotak ini menjadi tempatku berakar dengan sempurna. Di luar sana belum tentu aku dapat menghela nafas. Belum tentu nadiku berdenyut.

Jadi jika ada di antara mereka yang sudah bosan berdiam dalam ruangan kotak yang sempit ini mula menyajikan persepsi baru di luar kotak untuk kujamah, segera ku tiupkan semboyan kecemasanku.

Maka berderulah datang Sang Penyelamat Kotak dengan kuda-kuda kotaknya setelah mendengar tiupan semboyanku.

Sang Penyelamat Kotak, perwira bangsaku yang aku angkat dan semayamkan di atas takhta kuasa, agar ia dapat menghukum dan membisukan mereka yang sesat durjana. Dialah yang akan menyelamatkan aku dan kotakku agar senantiasa berada dalam keadaan asalnya.

Sang Penyelamat Kotaklah yang selama ini telah meyakinkan aku bahawa kotak inilah yang paling sesuai untukku, bangsaku dan dan seluruh keturunanku. Dialah jugalah yang selama ini memberikan kebebasan untuk terusku berdiam di dalam lingkungan kotak ini selama-lamanya.

Lalu setelah ia tiba bersama kuda-kuda kotaknya, Sang Penyelamat Kotak pun mengeluarkan cemeti ajaibnya dan melibas mereka yang sesat durjana itu.

“WHIPP!!!”

Satu.

“WHIPP!!!”

Dua.

Ada lagi?

“WHIPP!!!”

Tiga.

Hening.

Seketika kemudian lenyaplah suara-suara persepsi baru perosak kotak itu, lenyaplah mereka yang sesat durjana, menjelmalah kembali batas-batas yang melindungiku dan terselamatlah kotakku ini.

Maka pulanglah Sang Penjaga Kotak bersama kuda-kuda kotaknya ke takhta kuasanya untuk bersemayam bersama kekayaan yang diperoleh hasil dari usahanya menyelamatkan kotak. Dan beransurlah aku ke dalam kotak ini sambil bersyukur kerana segalanya masih aman.



Posted on Monday, August 30, 2010 by AK

No comments