Showing posts with label Kemelut Diri. Show all posts
Showing posts with label Kemelut Diri. Show all posts

22.12.14

Kau tengok budak remaja couple, pegang-pegang tangan. Kau marah.

Kau kata: "Gatal betul. Ni semua mengundang maksiat, lepas tu dapat anak luar nikah".

Tapi bila kau tengok budak remaja kahwin awal untuk mengelak maksiat, kau marah jugak.

Kau kata:"Gatal betul. Muda-muda dah birah nak kahwin".

Eh, habis tu apa yang kau tak marah, Melayu oii?

Kiri duri kanan pun berduri. Susah betul nak mengadap tekanan sosial kat Malaysia ni.

Posted on Monday, December 22, 2014 by Unknown

No comments

11.12.14



Dia selfie tayang cleavage, post di Instagram dan dapat 200 likes dalam masa 2 jam.

Kau tengok IG dia, dan dalam diam kau cemburu (sikit), sebab dia dapat 200 like.

So, kau pun nak jugak selfie tayang cleavage. Kau nak jugak tau, samada saham lurah dendam kau setinggi atau lebih tinggi dari dia.

Snap! snap! snap!

Dan selepas kau gunakan segala kemahiran fotografi yang kau ada (atau dengan kata lain, memulas otak selama 15 minit untuk memilih antara 5 filter terbaik yang kau selalu gunapakai selain filter Magic Skin yang sememangnya wajib), kau pun klik butang Post.



Berdebar rasa hati kau lepas kau post selfie tu, dengan harapan kau dapat lagi banyak like dari dia. Dan nampaknya nasib menyebelahi kau! Sebab mungkin kawan-kawan kau lebih ramai dari kawan-kawan dia, so kau dapat 300 likes dalam masa 2 jam! Kau terus draw conclusion yang cleavage kau lebih diminati dari cleavage dia. Pergh. Best sungguh perasaan kau masa tu. Post kau siap dipenuhi komen dari abang-abang sakai internet, dengan ucapan seperti "Mmmm dapnyewww" dan "Wow tq belanja". Kau marah (sikit) tapi suka (banyak) bila kau baca komen abang-abang sakai internet tu.

Malam tu, kau tidur bak berada di awang-awangan. Sesekali kau terbangun, dan terus check phone kau. Manalah tau ada follower yang baru tengok post kau dan like atau comment lagi.

Esoknya, dia discover yg kau dapat 300 likes dengan aksi mirip post dia. Dia tak puas hati. Mana boleh kau dapat lagi banyak like. Tiru post dia pulak tu. So now, dia determined nak kalahkan kau. Dia dapat idea baru. Kali ni dia selfie tayang cleavage sambil selak baju dan menampakkan perutnya yang toned sebab dia selalu pergi gym. Dapat 500 likes.

Bila kau tengok post dia tu, kau geram. Memang kau sangat tak puas hati. Benci. Kalau boleh kau nak toreh-toreh je perut dia.

Lepas tu kau selak baju tengok perut kau. Boroi. Macam perut dugong. Malulah kalau selfie tayang perut boroi. Nanti orang tak like. So now, kau pulak determined. Kau pun bertekad nak gunakan masa petang tu sehabis baik dengan buat sit-up, tapi lepas berhempas pulas kau larat buat 8 rep je, lepas tu perut kau cramp. Ciss, memang tension gila. Kau pun duduk termenung sedih sambil memikirkan nasib kau.

Last-last kau ambik phone, berdiri depan cermin, selak baju nampakkan perut, tahan nafas, tunduk sikit nampakkan lurah dendam, and snap! snap! snap!

Sebelum kau post, kau taip caption sambil di sudut bibir kau terukir sebuah senyuman puas: "Had a great workout today. My body is a wonderland! #fitness #getfitordietrying #workout #workinprogress"

Dan Abah kau, bila dia nampak post Instagram kau, terus mengilai bak langsuir jantan sambil mengurut-ngurut janggutnya tanda gembira.


Posted on Thursday, December 11, 2014 by AK

No comments

2.10.12

Aku peminat kamu paling agung.

Posted on Tuesday, October 02, 2012 by AK

No comments

9.2.11

on hiatus
mind is currently not functioning

Posted on Wednesday, February 09, 2011 by AK

No comments

8.12.10

"Snap!"

Hmm, dia putus lagi.

Nampaknya akan makan berhari-hari kalau nak kembalikan ke asal. Hari tu dah putus, hari ni putus lagi. Petanda apa agaknya ni? 

Biarlah, aku malas nak fikir tentang petanda. Aku bukannya Nostradamus.

Posted on Wednesday, December 08, 2010 by AK

No comments

17.10.10

Bulan Oktober 2010, memang antara bulan yang paling aku tak suka dalam tahun ni. Kenapa, kau tanya?

Ada macam-macam sebab musabab yang membuatkan aku berdoa agar pantas sampai ke penghujung bulan. Tapi aku nak kongsi satu dua saja dengan kau. Yang lain tu biarlah aku simpan sendiri. Kau pun takkan berminat nak tahu.

Bulan ni aku tersangatlah sibuk. Sibuk dengan kerja setiap minggu membuatkan aku ketiadaan masa untuk lepak dengan sahabat handai. Dengan keluarga pun setakat berselisih sekali-sekala, kurang berbual panjang. Kerjaya yang aku pilih ni tak menentu tuntutannya, bila sampai waktu sibuk memang boleh sampai ke tengah malam. Kadang-kadang berhari-hari lamanya. Terkadang tu hujung minggu pun aku terpaksa bekerja.

Kepada sahabat handai, aku susun sepuluh jari dan minta maaf kerana berperangai anti sosial bulan ni. Tapi usah gundah, ada kelapangan nanti kita lepak sekali sampai kau: A) menyampah tengok muka aku B) muntah darah dan menggelupur kesejukan kerana overdosed lepak dengan aku C) pura-pura jawab telefon dan minta diri atau D) memulakan larian balik ke rumah kerana dah tak larat melayan aku.

Berbalik kepada sebab kenapa aku tak suka bulan Oktober ni. Oleh kerana kesibukan melangsaikan tanggungjawab kerja yang bertimpa-timpa dalam bulan ni, maka kuranglah masa dan idea untuk aku mencoret di sini. Bila tubuh dan minda dipusatkan pada day job, gen artistik dalam otak aku ni pun jadi malas. Jangan kata bekerja, menggeliat pun tak mahu.

Memang sekarang ni aku sedang kontang melayari writer's block. Untuk pengetahuan, writer's block itu adalah terma penulisan yang merujuk kepada situasi kekontangan idea yang dihadapi seseorang penulis. Dan dalam situasi ini, seorang penulis mungkin akan menjadi ultra selektif dalam menyaring ideanya akibat inferiority complex yang wujud akibat kekontangan idea yang terlalu lama. Rasa takut kalau-kalau idea yang disajikan tak menarik. Itu pun kalau idea datang menyinggah. Kalau tak, lagilah parah. Jadilah macam aku, dan sajikan bahan-bahan mengarut macam ni untuk santapan umum. Sebab itu aku sangat tak suka bulan ni. Memang mengarut.

Hish cepatlah sampai hujung bulan!!

Posted on Sunday, October 17, 2010 by AK

2 comments

19.9.10

Hari ini aku bersedih.
Hari ini dalam diam aku menangis.
Hari ini separuh jiwaku pergi meninggalkan aku. 
Hari ini bermulalah kembali hidup berintikan kekosongan.

Satu-satunya motivasi aku untuk bawa kereta macam pelesit supaya cepat sampai ke rumah dari tempat kerja, kini dah pergi. Satu-satunya insan yang akan aku cari tiap kali melangkah masuk ke rumah, kini dah pergi. Satu-satunya insan yang boleh buatkan aku lupa pada segala masalah hidup, kini dah pergi. Satu-satunya insan yang acapkali membuatkan aku ketawa terharu, kini dah pergi. Satu-satunya insan yang aku cari siang dan malam tak mengira waktu, kini dah pergi. Satu-satunya insan yang bisa membuatkan aku kebal dari unsur luar yang boleh mengalpakan aku dari keluargaku, kini dah pergi. DAH PERGI!! DAH PERGI JAUH!!

Sedih. Dah lama aku tak rasa sesedih ini. Sialan. Kenapa mesti pergi? Kenapa mesti buat aku gembira seketika, hanya untuk melayan lara bila kau dah tak ada. Sekarang aku nak cari siapa bila pulang ke rumah? Tok Ayah dan Tok Mi pun sedih sangat bila Iwan tak ada, tau tak?

Sorry sebab Uncle tak hantar Iwan pergi airport pagi tadi. Bukannya Uncle malas, tapi Uncle pura-pura malas. Sebenarnya Uncle tak sanggup nak tengok Iwan pergi. Tak sanggup nak tengok drama air mata perpisahan Mummy dan Tok Mi di balai berlepas. Tak sanggup nak tengok lambaian terakhir Iwan.

Sorry juga sebab dua tiga hari ni Uncle tak layan sangat Iwan, Mummy dan Daddy Iwan sebelum korang balik Tokyo. Sebab Uncle nak biasakan diri bila Iwan dah tak ada. Nak biasakan diri dengan kesunyian. Nak biasakan diri supaya senang Uncle nak move on.

Tapi nampak gayanya, susah juga nak lalui jalan ni. Mungkin agak lama aku akan berada di petak ni. Sialan!!

Ahhhh!! Tunggulah Uncle datang Nippon lagi tahun depan OK, Tweety Bird?


Posted on Sunday, September 19, 2010 by AK

No comments

13.9.10

Cerita ini hanya rekaan aku semata-mata. Tak ada kena mengena langsung dengan aku, kau, dia atau sesiapa saja yang masih hidup, yang telah mati mahupun yang sedang nazak. Semoga Tuhan mengampunkan dosa kita semua.


Dia kata aku yang salah.
Aku kata dia yang salah.
Dia kata aku mengongkong.
Aku kata dia murah.
Dia kata dia dah tak larat lagi nak layan karenah aku.
Aku kata baguslah kalau macam tu.
Dia suruh aku pergi mampus.
Aku suruh dia pergi dulu.
Dia jerit, “Fuck you!”
Aku pekik, “Fuck you right back!”

BLAMM!
Dia hempas pintu.

ZRAPP!
Dan secara automatik mataku terus melekat pada pintu kayu tu.

Sepi..

Lama aku tenung pintu tu. Kalau aku Superman dah lama pintu tu berlubang terkena panahan tenungan aku ni. Yang kedengaran hanyalah nafasku yang turun naik, bagaikan seekor lembu nazak di pagi Aidiladha.

Sepi lagi..
…..
……..?

Lapan minit berlalu. Dia tak patah balik. Pintu kayu tu masih tertutup rapat. Nafasku semakin tenang. Bara amarahku pun dah semakin kebah. 

Rupanya kali ni betul-betul dia pergi. Dan aku tak dapat buat apa-apa. Malas untuk buat apa-apa.

Sebenarnya amarah ini dah lama mebuak-buak dan berkeladak dalam benak hati aku ni. Dan malam ni memang masa yang paling sempurna untuk aku buka pintu amarahku dan hadiahkan dia seketul dua baranya. 

Semua orang tahu betapa aku sayangkan dia. Aku berubah kerana dia. Dulu aku memang pantang nampak gadis bermuka jambu, berdada sihat, berambut karat.  Memang akan menjadi kewajipan aku pada waktu itu untuk mencuba nasib. “Dan biasanya nasib menyebelahi aku!” bisik hatiku meluahkan monolog penuh riak yang membuatku tersenyum mengurut janggut (juga penuh riak) di depan cermin.

Dulu aku tak pernah ada awek.

Aku ada awek-awek.

Dulu aku tak pernah terlangkup dengan cinta. Aku tak pernah kalah dengan mainan cinta gadis Kuala Lumpur. Sebab aku tahu semanis manapun madu cintanya, ia boleh bertukar menjadi racun sekelip mata. Atau mungkin semalaman. Apa-apa pun, aku tak pernah biarkan diriku terlalu mencintai seorang gadis. Dah ramai sahabat handai aku yang jatuh terjelepuk ke tanah kerana percayakan cinta gadis berdahi licin. Waktu itu aku pangkah cinta sejati. Aku rasa jijik hanya memikirkan konsep cinta sejati itu sendiri. Padaku cinta sejati tu tak wujud. Hanyalah tirai ilusi yang menutup fitrah manusia yang perlu melampiaskan nafsu dan meneruskan rantaian genetiknya.

Tapi selepas riwayat hidup aku bertemu dengan riwayat hidupnya, paksiku langsung berubah. Aku setia padanya. Aku sayangkan dia. Saat itu aku cukup yakin cinta sejati itu memang benar-benar wujud. Tak pernah ku sangsi walau senafas. Mungkin sebab waktu itu aku lihat dia lain dari yang lain. Aku betul-betul dilamun cinta, sehingga aku biarkan rasa cinta itu membodohkan aku.

Lima tahun aku berkongsi pahit, manis, perit, tawar, masam, payau dan segala macam rasa lagi dengannya. Lima tahun bukan sekejap. Kalau tempoh hubungan kami dizahirkan sebagai manusia, umur lima tahun dah kira besar. 

Dah pandai berlari.
Dah pandai bercakap.
Dah pandai mencarut tunjuk jari tengah pada kakaknya.
Dah pandai curi duit syiling dari tabung emaknya.
Dah boleh makan libasan rotan ayahnya.
Lama lima tahun tu…
Dan aku biarkan ia berakhir begini?

“Ahhh! Aku tak boleh biarkan memori manis bak air soya itu menguasai fikiranku!”

Sesekali aku berbicara dengan kipas buruk berhabuk yang memekak di atas meja. 
Bodoh!
Eh, bukan kau yang bodoh, wahai kipas.
Dia. Dia yang bodoh.
Sebab kau masih kipas mejaku yang akan ku sayang sampai akhir hayat.
Walaupun bunyi pusingan bilahmu yang membingitkan gegendang telingaku seakan-akan memberiku petanda yang hayatmu tinggal beberapa bulan saja lagi, usah kau bimbang wahai kipas mejaku.

Yang pasti kau lebih mulia dari dia.
Kau setia.
Dia tidak.
Kau tak perlu pergi dariku.
Dia harus pergi.
Berapa lama lagi aku boleh terus hanyut dalam kedayusan, wahai kipas.

Sudah beberapa kali aku terserempak dengannya bersama lelaki lain di Bukit Bintang, di kelab malam dan merata tempat lagi. Katanya mereka hanya teman biasa, tak pun abang angkat. Tapi setelah aku congak balik, adalah dalam 17 orang abang angkat kesemuanya. Nak kata dia anak yatim, tak jugak. Sebab ibu ayahnya masih hidup sihat walafiat. Dan nama bapanya pun Karim, bukannya Yatim. Tapi ramai pula abang angkatnya. Memang tak masuk akal.

Tapi selama ni pun aku buat bodoh saja. Jarang sekali aku mempersoalkan kehidupan sosialnya. Bila dah sayang, seboleh-bolehnya kita nak elakkan konfrantasi. Takut bercerai-berai. Hempedu pun boleh jadi manis jika berkuahkan cinta dan sayang, betul?

Tapi setelah lama aku simpan api amarah, malam ni habis ku luahkan segalanya. Malam ni aku juara. Malam ni aku berjaya ingatkan dia siapa aku. Aku berjaya atasi kedayusan yang dah bertahun-tahun mengatasi aku. Malam ni aku kembali.

Persetankan cinta sejati!
Persetankan engkau!
Heh..
Tak mati lah kalau kau tak ada.
Esok.
Esok aku akan cari awek baru.
Eh bukan..
Esok aku akan cari awek-awek baru.
Hmm.
“Hello Jasmine! How are you lah? Yeah I know!! It’s been too long right?! Say, what are you doing tomorrow evening?"

-END-

Posted on Monday, September 13, 2010 by AK

No comments

30.8.10

Sementelah, hari baik bulan baik ini boleh dikatakan amat bersejarah buat diriku yang hina dina ini. Mungkin bagi engkau langsung tak ada signifikasi pun (kecuali kalau kau Apip, kawanku yang menyambut hari lahirnya hari ini!). Tapi bagi aku hari ini, sehari sebelum Hari Kemerdekaan Malaysia (betulkah sudah merdeka?) akhirnya aku mengorak langkah perlahan-lahan. Sebab setelah sekian lama aku berperang dengan bayang-bayang sendiri (samada nak mulakan blog ini atau tidak), akhirnya perang itu telah tamat. Dan akhirnya seperti biasa aku kalah dan aku menang. (Buat yang belum tau, aku adalah seorang jejaka berbintang gemini - so everyday is a battle between myself and I).

Sebenarnya bukannya aku tak suka menulis. Aku memang suka menulis. Bahkan, aku pernah cari makan dengan menulis. Cuma aku dah lama tak berkarya dalam bentuk penulisan. Mungkin aku sudah berkarat.

Tapi kalau kita fikir-fikirkan sejenak, zaman sekarang penulis dah tak menulis lagi. Semuanya keletuk-keletak ketuk keyboard. Budak sekolah pun dah tak main tulis note dan baling pada kawan. Hantar SMS lebih senang!

Habis, kenapa baru sekarang aku nak mulakan blog? Adik-beradik dan suku-sakat aku kebanyakannya dah lama buka halaman blog masing-masing. Kenapa aku yang lambat? Sedangkan aku pernah jadi penulis!

Setelah ku perah-perah akal hingga kering, akhirnya mekanisma pertahananku berjaya mengeluarkan lima sebab dan dalil mengapa aku lembab sangat nak mulakan blog sendiri. Jadi, apa kata aku senaraikan sebab-musabab itu di sini:
  1. Sebab yang selamat: Belum sampai seru untuk mula blogging.
  2. Sebab yang poyo: Sebelum ini aku sibuk mencari siapa diri ini.
  3. Sebab yang menakutkan: Aku takut ditangkap Special Branch.
  4. Sebab yang jujur: Sebelum ini aku lebih suka buang masa buat benda lain.
  5. Sebab yang boleh diterima akal: Aku tak ada idea nak mulakan blog aku.
Baiklah, aku harap kau berpuas hati dengan sebab-musabab yang dah aku berikan. Jadi, untuk memulakan helaian pertama hikayat hidup aku sebagai seorang blogger, sudah menjadi kewajipan bagiku untuk menyajikan pengunjung blog ini dengan post yang sulung.

Tapi, topik apa yang patut aku ceritakan?

Sudah. Timbul satu lagi masalah.

Sekarang aku mula rasakan yang sebab No. 5 itu memang semakin boleh diterima akalku yang pikapnya taklah selaju mana ini - terutamanya di waktu pagi. Sorry, but honestly I'm never a morning person. My POV is simple: early birds get the most worms, turn obese and then DIE a miserable death.

Masa di sekolah asrama dulu pun, aku antara pelajar-pelajar bertuah yang selalu bersarapankan sepak terajang dan rotan setiap pagi, hadiah ikhlas dari warden yang bertugas disebabkan aku liat nak bangun untuk turun ke perhimpunan. Kerana pada pandangan aku dan rakan-rakan seperjuangan, perhimpunan pagi adalah satu acara yang membuang masa. Aku rasa pagi-pagi begitu lebih baik main bolasepak buat hilang mengantuk, dari mendengar bebelan Pengetua tersayang tentang betapa bertuahnya kami dapat bergelar pelajar di sekolah itu.

Hmmm, cerita pengalaman di asrama. Tak membina langsung. Nampaknya memang kering-kontang betul otak aku buat masa ini. Hmmmm..

Ahh!Nanti-nantilah aku cari topik yang bernas sikit buat tatapanmu ya? :)

Tapi buat masa ini, sebagai pengalas perut kau jamahlah dulu kompilasi beberapa karya lamaku yang selama ini berselerak di merata tempat, tapi dapat aku kumpulkan sedikit demi sedikit di sini. Apa-apapun terima kasih kerana sudi menjenguk halaman ini. Aku amat teruja untuk berkongsi buah fikiranku denganmu. Jadi lapangkanlah fikiranmu, bukalah jendela akalmu seluas-luasnya dan marilah kita sama-sama keluar dari kotak minda kita.

Daa!!

Posted on Monday, August 30, 2010 by AK

4 comments