19.9.10

Hari ini aku bersedih.
Hari ini dalam diam aku menangis.
Hari ini separuh jiwaku pergi meninggalkan aku. 
Hari ini bermulalah kembali hidup berintikan kekosongan.

Satu-satunya motivasi aku untuk bawa kereta macam pelesit supaya cepat sampai ke rumah dari tempat kerja, kini dah pergi. Satu-satunya insan yang akan aku cari tiap kali melangkah masuk ke rumah, kini dah pergi. Satu-satunya insan yang boleh buatkan aku lupa pada segala masalah hidup, kini dah pergi. Satu-satunya insan yang acapkali membuatkan aku ketawa terharu, kini dah pergi. Satu-satunya insan yang aku cari siang dan malam tak mengira waktu, kini dah pergi. Satu-satunya insan yang bisa membuatkan aku kebal dari unsur luar yang boleh mengalpakan aku dari keluargaku, kini dah pergi. DAH PERGI!! DAH PERGI JAUH!!

Sedih. Dah lama aku tak rasa sesedih ini. Sialan. Kenapa mesti pergi? Kenapa mesti buat aku gembira seketika, hanya untuk melayan lara bila kau dah tak ada. Sekarang aku nak cari siapa bila pulang ke rumah? Tok Ayah dan Tok Mi pun sedih sangat bila Iwan tak ada, tau tak?

Sorry sebab Uncle tak hantar Iwan pergi airport pagi tadi. Bukannya Uncle malas, tapi Uncle pura-pura malas. Sebenarnya Uncle tak sanggup nak tengok Iwan pergi. Tak sanggup nak tengok drama air mata perpisahan Mummy dan Tok Mi di balai berlepas. Tak sanggup nak tengok lambaian terakhir Iwan.

Sorry juga sebab dua tiga hari ni Uncle tak layan sangat Iwan, Mummy dan Daddy Iwan sebelum korang balik Tokyo. Sebab Uncle nak biasakan diri bila Iwan dah tak ada. Nak biasakan diri dengan kesunyian. Nak biasakan diri supaya senang Uncle nak move on.

Tapi nampak gayanya, susah juga nak lalui jalan ni. Mungkin agak lama aku akan berada di petak ni. Sialan!!

Ahhhh!! Tunggulah Uncle datang Nippon lagi tahun depan OK, Tweety Bird?


Posted on Sunday, September 19, 2010 by AK

No comments

13.9.10

Cerita ini hanya rekaan aku semata-mata. Tak ada kena mengena langsung dengan aku, kau, dia atau sesiapa saja yang masih hidup, yang telah mati mahupun yang sedang nazak. Semoga Tuhan mengampunkan dosa kita semua.


Dia kata aku yang salah.
Aku kata dia yang salah.
Dia kata aku mengongkong.
Aku kata dia murah.
Dia kata dia dah tak larat lagi nak layan karenah aku.
Aku kata baguslah kalau macam tu.
Dia suruh aku pergi mampus.
Aku suruh dia pergi dulu.
Dia jerit, “Fuck you!”
Aku pekik, “Fuck you right back!”

BLAMM!
Dia hempas pintu.

ZRAPP!
Dan secara automatik mataku terus melekat pada pintu kayu tu.

Sepi..

Lama aku tenung pintu tu. Kalau aku Superman dah lama pintu tu berlubang terkena panahan tenungan aku ni. Yang kedengaran hanyalah nafasku yang turun naik, bagaikan seekor lembu nazak di pagi Aidiladha.

Sepi lagi..
…..
……..?

Lapan minit berlalu. Dia tak patah balik. Pintu kayu tu masih tertutup rapat. Nafasku semakin tenang. Bara amarahku pun dah semakin kebah. 

Rupanya kali ni betul-betul dia pergi. Dan aku tak dapat buat apa-apa. Malas untuk buat apa-apa.

Sebenarnya amarah ini dah lama mebuak-buak dan berkeladak dalam benak hati aku ni. Dan malam ni memang masa yang paling sempurna untuk aku buka pintu amarahku dan hadiahkan dia seketul dua baranya. 

Semua orang tahu betapa aku sayangkan dia. Aku berubah kerana dia. Dulu aku memang pantang nampak gadis bermuka jambu, berdada sihat, berambut karat.  Memang akan menjadi kewajipan aku pada waktu itu untuk mencuba nasib. “Dan biasanya nasib menyebelahi aku!” bisik hatiku meluahkan monolog penuh riak yang membuatku tersenyum mengurut janggut (juga penuh riak) di depan cermin.

Dulu aku tak pernah ada awek.

Aku ada awek-awek.

Dulu aku tak pernah terlangkup dengan cinta. Aku tak pernah kalah dengan mainan cinta gadis Kuala Lumpur. Sebab aku tahu semanis manapun madu cintanya, ia boleh bertukar menjadi racun sekelip mata. Atau mungkin semalaman. Apa-apa pun, aku tak pernah biarkan diriku terlalu mencintai seorang gadis. Dah ramai sahabat handai aku yang jatuh terjelepuk ke tanah kerana percayakan cinta gadis berdahi licin. Waktu itu aku pangkah cinta sejati. Aku rasa jijik hanya memikirkan konsep cinta sejati itu sendiri. Padaku cinta sejati tu tak wujud. Hanyalah tirai ilusi yang menutup fitrah manusia yang perlu melampiaskan nafsu dan meneruskan rantaian genetiknya.

Tapi selepas riwayat hidup aku bertemu dengan riwayat hidupnya, paksiku langsung berubah. Aku setia padanya. Aku sayangkan dia. Saat itu aku cukup yakin cinta sejati itu memang benar-benar wujud. Tak pernah ku sangsi walau senafas. Mungkin sebab waktu itu aku lihat dia lain dari yang lain. Aku betul-betul dilamun cinta, sehingga aku biarkan rasa cinta itu membodohkan aku.

Lima tahun aku berkongsi pahit, manis, perit, tawar, masam, payau dan segala macam rasa lagi dengannya. Lima tahun bukan sekejap. Kalau tempoh hubungan kami dizahirkan sebagai manusia, umur lima tahun dah kira besar. 

Dah pandai berlari.
Dah pandai bercakap.
Dah pandai mencarut tunjuk jari tengah pada kakaknya.
Dah pandai curi duit syiling dari tabung emaknya.
Dah boleh makan libasan rotan ayahnya.
Lama lima tahun tu…
Dan aku biarkan ia berakhir begini?

“Ahhh! Aku tak boleh biarkan memori manis bak air soya itu menguasai fikiranku!”

Sesekali aku berbicara dengan kipas buruk berhabuk yang memekak di atas meja. 
Bodoh!
Eh, bukan kau yang bodoh, wahai kipas.
Dia. Dia yang bodoh.
Sebab kau masih kipas mejaku yang akan ku sayang sampai akhir hayat.
Walaupun bunyi pusingan bilahmu yang membingitkan gegendang telingaku seakan-akan memberiku petanda yang hayatmu tinggal beberapa bulan saja lagi, usah kau bimbang wahai kipas mejaku.

Yang pasti kau lebih mulia dari dia.
Kau setia.
Dia tidak.
Kau tak perlu pergi dariku.
Dia harus pergi.
Berapa lama lagi aku boleh terus hanyut dalam kedayusan, wahai kipas.

Sudah beberapa kali aku terserempak dengannya bersama lelaki lain di Bukit Bintang, di kelab malam dan merata tempat lagi. Katanya mereka hanya teman biasa, tak pun abang angkat. Tapi setelah aku congak balik, adalah dalam 17 orang abang angkat kesemuanya. Nak kata dia anak yatim, tak jugak. Sebab ibu ayahnya masih hidup sihat walafiat. Dan nama bapanya pun Karim, bukannya Yatim. Tapi ramai pula abang angkatnya. Memang tak masuk akal.

Tapi selama ni pun aku buat bodoh saja. Jarang sekali aku mempersoalkan kehidupan sosialnya. Bila dah sayang, seboleh-bolehnya kita nak elakkan konfrantasi. Takut bercerai-berai. Hempedu pun boleh jadi manis jika berkuahkan cinta dan sayang, betul?

Tapi setelah lama aku simpan api amarah, malam ni habis ku luahkan segalanya. Malam ni aku juara. Malam ni aku berjaya ingatkan dia siapa aku. Aku berjaya atasi kedayusan yang dah bertahun-tahun mengatasi aku. Malam ni aku kembali.

Persetankan cinta sejati!
Persetankan engkau!
Heh..
Tak mati lah kalau kau tak ada.
Esok.
Esok aku akan cari awek baru.
Eh bukan..
Esok aku akan cari awek-awek baru.
Hmm.
“Hello Jasmine! How are you lah? Yeah I know!! It’s been too long right?! Say, what are you doing tomorrow evening?"

-END-

Posted on Monday, September 13, 2010 by AK

No comments