Pejam celik pejam celik, dah sebulan Syawal kita layari dengan enaknya. Memang untuk seluruh rakyat Malaysia, bulan Syawal ialah bulan paling enak antara semua bulan dalam kalendar Hijrah. Sebab sepanjang bulan Syawal, rakyat Malaysia sibuk bertandang ke open house. Sibuk menjalani aktiviti makan. Dan bila ada banyak makanan, dah tentu ada pembaziran. Ya lah, semua pun nak ikut nafsu. Main ambil sesuka hati.
Aku jenguk dan aku analisis, realitinya rata-rata rakyat Malaysia terutamanya orang bandar nampaknya tegar membazir makanan bila tiba bulan Raya. Termasuklah bila keluarga aku sendiri buat open house. Dah macam satu amalan bila buat open house, mesti berdepan dengan saki-baki dan sisa makanan yang melampau. Lepas tu buang dalam tong sampah. Bila dah jadi sampah, sisa tadi pulak perlukan pengurusan sistematik yakni kerja angkut mengangkut, pengumpulan, pengasingan mengikut kategori, pelupusan dan sebagainya. Itu semua perlukan kos. Sudah, masuk hal duit pulak.
Jadi, kalau kau rasa kau rakyat yang prihatin, kita perlu lakukan perubahan. Kita perlu hentikan sikap membazir makanan. Kita perlu wujudkan satu dunia di mana nikmat makanan pemberian Tuhan dirasai oleh semua umat manusia, Tak terlalu lebih dan takkan pernah berkurang.
Untuk merealisasikan impian murni aku tu, aku ada beberapa cadangan yang mungkin satu hari nanti akan dibahaskan di parlimen (mungkin kalau diorang dah boring tak ada usul lain nak bahas dan start main kapal terbang kertas; atau bila kau orang pilih aku jadi PM. Kalau kau orang nak lah, aku tak kisah).
OK apa kata kita pertimbangkan cadangan-cadangan bernas yang aku rasa dapat membantu kita menghapuskan gejala pembaziran makanan tiap kali Syawal menjelma:
Jangan ikut nafsu. Sebab kadang-kadang nafsu memang membuak-buak nak makan tapi baru sentuh sikit, perut dah kenyang. Sentiasa fikirkan nafsu vs kemampuan perut, sebab kadang-kadang kita terlupa (ditujukan khas untuk para wanita yang suka melayan nafsu makan tapi kapasiti perut agak kecil).
Setiap kali buat open house, amalkan tabiat menghantar sebahagian hidangan ke rumah anak yatim. Mudah-mudahan dapat pahala.
Tampal koleksi poster kanak-kanak Afrika yang kebuluran di sekeliling tempat makan. Cari poster yang paling menyedihkan dan jadikan alas meja supaya tetamu nampak tiap kali mengambil makanan.
Bela binatang ternakan. Kalau tak dapat habiskan makanan tu, berilah pada ayam dan itik. Bila dah matang, boleh buat masak lemak tak payah beli ayam di pasar. Keluarga aku pun dulu pernah bela angsa merangkap tong sampah yang suka memekak malam-malam.
Pasang program 'Bersamamu'. Cari episod yang paling sedih, macam episod si daif makan siput babi, dan pasangkan di TV bila tetamu datang bertandang. Tapi awas, sediakan tisu berlebihan. Sebab ada kemungkinan tetamu menangis lengkap dengan hingus meleleh akibat menonton si daif yang disuruh makan siput babi depan kamera.
Wujudkan denda untuk membanteras budaya makan tak habis. Sebagai tuan rumah, berikan hukuman setimpal kepada pembazir seperti denda cuci pinggan atau belanja top-up.
Pastikan kau hidang makanan yang boleh tahan lama. Sebab kalau berlebihan, boleh simpan dalam peti ais dan nikmati sendiri sampai bulan depan. Poket pun ada senyum.
Nah, kalau ikutkan karut akal senget aku ni, banyak lagi yang aku boleh senaraikan kat sini. Tapi sesenget akal aku, sekarut guideline aku, seteruk mana aku merepek pun, taklah senget, karut dan merepek sampai pergi senaraikan t-shirt V-neck tu antara petanda lelaki gay. Janganlah macam ni YB Dr Timbalan Menteri. Cuba YB Dr Timbalan Menteri buat kajian lebih sikit sebelum keluarkan guideline macam tu. Dan kalau nak lebih baik, tak payah keluarkan guideline macam tu langsung. YB Dr Timbalan Menteri pun takkan terpalit malu, kan?
Dunia yang akrab makin asing
Jati diri semakin jadi retorik
Anak kecil dah pandai kurang ajar
Prinsip hidup nampak bagai miraj
Entah ada entah tak ada
Bila roh tak kenal pada bayang-bayang sendiri
Bila jiwa yang jumud menjadi perhiasan
Seperti wind chime
Bergantungan di palang
Teruslah menari-nari ditiup angin
Dahaga untuk dibuai lagi
Merintih untuk terus dipermainkan
Alpa, lupa, lalai, leka
Menjadi akar tempat roh berpasak
Menjadi banir tempat jiwa bermain
Menjadi pokok tempat hati berteduh
Menjadi sarang tempat akal berkampung
Baru-baru ni aku singgah ke tayangan perdana 'Bunohan' garapan Dain Said dan dibintangi oleh Faizal Hussein, Zahiril Adzim, Pekin Ibrahim, Amerul Affendi, Bront Palare, Namron, dan Shofi Jikan (di antaranya). Macam segelintir yang lain, aku dah lama dapat tahu pasal filem ni, dan hampa setiap kali pembukaannya ditunda (beberapa kali jugak lah). Dah banyak kali soalan "Bila Bunohan nak keluar?" terpacul dari mulut aku (macam wartawan hiburan) bila aku bersemuka dengan adik aku. Agaknya sampai satu tahap, dia pun mesti bosan dengan soalan tu.
Jadi, bila dia ajak hadiri tayangan perdana filem yang dah lama aku tunggu macam ayam memeram telur tembelang, pantas aku tak sia-siakan peluang tu. Walaupun terpaksa memandu dari Bukit Jelutong ke KLCC, meredah hujan dan kesesakan rush hour dan terlepas makan malam(aku pun tak tahu kenapa Apparat buat tayangan perdana pukul 8 malam hari bekerja), tapi aku tegarkan jugak. Sebab aku tau semuanya mesti berbaloi.
Kesimpulannya, memang tersangatlah berbaloi.
Buah Tangan kedua Dain Said selepas 'Dukun' diharamkan tayangannya di Malaysia, memang betul-betul menjadi. Bukan saja menjadi, malah terlebih jadi. Aku bukan poyo-poyo nak angkat filem ni sebab aku nak nampak macam orang yang faham seni, sebab aku tak perlukan approval orang lain untuk menilai sedalam mana pemahaman dan vokabulari seni aku. Aku sendiri tau, cukuplah. Pada aku seni adalah subjektif, sama seperti bila pakar psikologi menunjukkan sehelai kertas yang dipenuhi tompok dakwat dan bertanya kepada pesakitnya, "apa yg kau nampak?". Lalu pesakit menjawab apa saja yang dia nampak melalui tingkap matanya dan diproses oleh mindanya, dan semua interepetasi akan diterima oleh pakar psikologi sebagai betul. Tapi aku cuma gunakan kaedah psikologi tu sebagai metafora untuk menggambarkan sifat seni yang subjektif, bukan menerangkan kaedah untuk memahami seni. Jangan salah faham. Aku rasa semua orang boleh memahami seni, cuma sesetengah minda lebih suka gunakan dasar tutup pintu bila ada yang mula bercakap tentangnya. Buang masa katanya. Mungkin tak ada minat. Atau imaginasinya terhad.
Berbalik kepada 'Bunohan', memang filem ni ada tarikan dan caranya yang tersendiri untuk diratah oleh penontonnya. Aku dah lama tak rasai kepuasan menonton filem Malaysia yang ada jiwa dan karektor mcm filem ni. Malah, berjaya membuat otak aku bekerja. Jarang filem Malaysia (baca: Melayu) yang boleh buat otak aku berjalan; memproses, menilai dan merumus setiap babak, sambil mata aku dikhayalkan dengan sinematografi yang seolah-olah bernyawa dan sedang mood swing. Jarang filem kita boleh buatkan aku tak tidur malam selepas menonton, sebab otak aku masih memproses metafora-metafora dan plotnya yang macam puzzle. Tapi kisahnya taklah seberat yang aku jangka, kalau berat pun plot dan sinematografinya berjaya membuatkan aku khayal sepanjang tayangan. Ada satu ketika di tengah-tengah filem, aku sampai terlupa yang aku sedang menonton filem Malaysia. Sebab otak aku sedang sibuk bekerja, sama seperti ketika menonton filem garapan Scorsese atau Guy Ritchie.
Yang pasti pada pandangan aku 'Bunohan' berjaya melepasi benchmark industri perfileman watan. Yang pasti juga, 'Bunohan' bukanlah filem padat aksi yang lebih banyak bergaduh dari bercakap. Jadi, tak perlulah kita samakan filem ni dengan 'KL Gangster'. Siapa yang mengharapkan filem aksi sebegitu, dipersilakan kembali tidur. Aku malas untuk cuba kejutkan minda yang malas untuk dikejutkan.
Tapi kepada mereka yang mahu melihat bukti yang industri filem kita juga boleh matang dan mereka yang suka menilai sesebuah naskhah filem dari aspek pengisian intelektualnya dahulu baru pengisian komersilnya - aku sarankan tengok filem ni.
Rasanya tak melampau kalau aku samakan 'Bunohan' dengan filem bertaraf oskar 'No Country for Old Men' arahan adik-beradik Coen. Sebab, kedua-dua filem adalah filem jantan yang agak violent, dipenuhi dengan kecamukan dan konflik di antara watak-watak lelaki dengan ideologi dan prinsip yang berbeza, dan dibengkung oleh plot yang dirungkai satu persatu sepanjang jalan. Dan watak-watak utama filem ni adalah adik-beradik lelaki dan bapa mereka manakala cuma seorang pelakon wanitanya, sang model Tengku Azura yang menjadi ibu mereka dan kemunculannya pun hanya dalam bentuk surrealism, silhouette ataupun bayangan mistik. Itupun unsur mistik dalam filem ni tak dikupas panjang oleh Dain Said. Dialog Tengku Azura pun hanya di sekitar pengakhiran plot saja. Baguslah, aku lagi suka bila Dain tak kupas lebih-lebih pun pasal unsur mistik tu. Nanti jadi mengarut-ngarut, naik bosanlah jawabnya.
Berbalik kepada bab jantan tadi, aku rasa fokus filem ni adalah sifat, ideologi, prinsip, nilai (tak kira murni ataupun tidak) dan emosi sang lelaki yang terikat oleh cinta, keluarga dan persahabatan. Dan kesemua tu diadun dalam satu kisah yang kita tahu kebenarannya, tapi adat orang Melayu kisah begini disapu masuk longkang sambil matanya ditutup rapat. Itulah realitinya yang cuba dikupas dalam filem ni.
Aku nampak konsep inilah yang digunapakai oleh Dain Said untuk membentuk satu kisah yang berlatar belakangkan landskap yang murung, ganas dan mencurigakan. Ia satu naskhah gelap yang jujur dan harmoni dalam mengupas keperibadian lelaki matang, walaupun luarannya nampak keras dan teguh, tapi masih ada soft spot atau titik kelemahannya.
Melihat watak-watak berlatar belakangkan kehidupan kampung Bunohan di sempadan Siam-Kelantan, mesti ramai yang beranggapan yang filem ni ala-ala 'Ong Bak'. Salah tu. Memang ada babak aksi dalam 'Bunohan', tapi unsur drama dalam konflik cinta, kekeluargaan, dan persahabatan adalah paksi utama filem ini. Sekali lagi aku ulangi, DRAMA. Maknanya, ada babak-babak yang perlahan tapi signifikan. Tapi Dain Said berjaya menggarap unsur drama dalam bentuk yang sedap untuk dijamah. Bukan macam drama Sinetron tu. Asal dialog sikit je nak slow motion close-up. Kalau yang tu memang aku tutup je TV.
OK, sambung balik.
Sama seperti entri aku tentang filem Watchmen, penonton ‘Bunohan’ pada awalnya semacam diberikan wild card, di mana paksi watak protagonis dan antagonis berkecamuk. Tapi kebenaran dan keseimbangan akhirnya terungkai perlahan-lahan sepanjang penceritaan. Mungkin Dain Said buat macam tu sebab dia taknak kita gariskan sempadan antara watak baik dan jahat terlalu awal. Tapi bagi sesiapa yang dengan mudah menggariskan sempadan tu dari awal, akan mengalami ‘the “Damn!” effect’ - istilah yang aku gunakan untuk menerangkan perasaan yang hadir bila terungkainya pengakhiran plot yang tak disangka. But either way is fine, it’s a win-win situation.
Jadi mungkin bila ‘Bunohan’ dibikin begitu, kita berpeluang untuk menghalusi (bukan halusinasi) nilai-nilai yang dibawa oleh semua watak dari kedua-dua kem ni, tanpa mengira latar belakang dan personaliti sesuatu watak tu. Ini yang menjadikan filem ni unik pada aku.
Bermula dengan pertembungan antara tiga adik-beradik:
Ilham (Faizal Hussein) pembunuh upahan yang pada mulanya seolah-olah ketiadaan jiwa, perasaan dan objektif yang kekal tapi amat kalkulatif dalam setiap langkahnya,
Bakar (Pekin Ibrahim) guru yang bijak dan bersifat manipulatif; bercita-cita untuk menjadi ahli perniagaan dan menjual tanah pusaka keluarganya,
Adil ‘Bunga Lalang’ (Zahiril Adzim) seorang jaguh tomoi yang egoistik, keras kepala dan berpegang teguh kepada prinsip walaupun terkadang memakan dirinya sendiri.
Setelah sekian lama ketiga-tiganya berjauhan dari kampung halaman dan membawa haluan masing-masing, takdir membawa mereka kembali semula kampung halaman, Bunohan. Adil yang menjadi buruan di Thailand dengan berat hatinya pulang ke Bunohan untuk berubat setelah cedera teruk dalam perlawanan tomoi. Bakar pula secara sukarela pulang kononnya untuk menjaga ayah mereka, Pok Eng (Wan Hanafi Su) yang uzur tapi sebenarnya mempunyai visi dan niat yang jahat. Sementara Ilham yang juga pada mulanya keberatan untuk pulang ke Bunohan akibat trauma masa lampau, akhirnya kembali bagi mencari 'Bunga Lalang' - kontrak bunuh yang tidak disangka-sangka adalah adik kandungnya sendiri.
Dan watak yang menjadi bengkung kepada watak adik-beradik ni adalah ayah mereka Pok Eng, seorang Tok Dalang wayang kulit yang pernah berkahwin dua kali, dengan seorang anak dari setiap perkahwinan, dan seorang anak luar nikah dengan bekas isteri pertamanya Mek Yah - primadona makyong dan pengamal ilmu mistik yang telah mati dan menjadi jelmaan buaya jadian. Di sini kita boleh nampak, bagaimana realiti kepercayaan kolot masyarakat Melayu terhadap alam supernatural serta kepincangan institusi keluarga ditampilkan oleh Dain Said untuk mengaitkan watak-watak penting filem ni.
Seterusnya, watak Ilham, Bakar dan Adil mempunyai sidekick masing-masing. Ilham berkongsi kerjaya sebagai pembunuh upahan dan sahabat karib kepada Deng (Bront Palare) dan Jing (Jimmy Lor), Bakar mempunyai pakatan seterusnya memperkudakan Jolok si gangster kampung (Hushairy Hussin) untuk mencapai matlamatnya, dan Adil pula dengan Muski (Amerul Affendi) dan Pok Wah (Namron), dua watak yang mempengaruhi kehidupan dan minatnya dalam kancah pertarungan tomoi haram yang dihitami keganasan dan penipuan.
OK, di sini pula aku tengok nilai persahabatan vs kepentingan individu digarap dengan cantik oleh Dain, dan aku dapat lihat keseimbangan watak-watak dalam filem ni. Sebab pelakon-pelakon pembantunya juga berjaya memberikan impak yang luar biasa dan konsisten dalam setiap babak mereka. Senang cerita, diorang ni bukan sekadar watak tepi yang bangang. Masing-masing ada kekuatan tersendiri dan berjaya mempengaruhi dan melengkapkan plot walaupun hanya watak pembantu (bukan extra ya), jadi aku rasa mereka semua patut dapat kredit. Bukan dalam bentuk kad kredit ataupun bonus points yang boleh tukar dengan blender. Tapi pengiktirafan yang setimpal dengan apa yang dah mereka kerahkan untuk menghidupkan watak masing-masing. Bukan senang nak berlakon sepenuhnya dalam dialek Kelantan lepas tu hadap situasi dan lokasi yang diorang ni hadap. Gila. Memang watak diorang ni perlukan penghayatan dan fokus yang tinggi serta konsisten. Aku rasa Dain Said dan rakan-rakan bijak memilih pelakon untuk filem ni. Tengoklah, ada beberapa pelakon yang memang asalnya kaki teater ataupun suka bergiat dalam teater ( Kalau kau terus teringat Nora atau PGL the musical, aku teramatlah merasa sedih. No pun intended, Datin Tiara). Siapa peminat tegar industri teater watan mesti kenal mereka yang aku maksudkan tu.
……..
Seterusnya, plot naskhah ‘Bunohan’ bertukar-tukar seiring naratifnya yang tak dibatasi masa atau dalam terma Bahasa Inggerisnya, non-chronological. Kau faham terma tu? Maksudnya filem ni tak ikut logik masa, sebab Dain Said main bedal je dia nak susun babak-babak cerita ni ikut suka dia. Salah satu contoh, babak penutup dipotong dua dan diletakkan sebagai prolog dan epilognya.
Apasal dia buat macam tu??
Heh, suka hati dia lah bro. Filem dia.
Kalau kau pening kepala lepas menonton, janganlah salahkan dia. Salahkan diri sendiri yang cuai, tak alert.
Sebab tu lah aku highlight bab ni. Sebab aku nak kau dalam keadaan bersedia sebelum kau mula jamah filem ni. Aku nak kau awasi setiap babak, setiap dialog dan rumuskan sendiri di mana babak tu patut disumbat.
Bayangkan ‘Bunohan’ ni sebuah novel yang bab-babnya berteraburan (tapi tak bersepah sangat) atas lantai. Selain berteka-teki tentang plotnya, Dain Said memberi peluang kepada kita untuk menjilidkan novelnya itu dari bab prolog sampailah bab epilognya. Macam main jigsaw puzzle lah, sebab tu aku boleh khayal sepanjang tayangan.
Hmm melalut. Tak apa, kata non-chronological.
Jadi di penghujung jalan ceritanya 'Bunohan' akhirnya menampakkan nilai positif dan negatif yang sebenar untuk dinilai oleh penonton. Ketika itu barulah kita dapat lihat watak-watak hitam mula menunjukkan nilai dan prinsip yang positif, terjadinya pengorbanan yang sia-sia, dan bagaimana hukuman akibat dosa lampau disempurnakan dengan pengkhianatan. Dan ketika kita menganggap kesemua kecamukan sudah terungkai, satu twisted ending yang menarik bakal dijamukan. Saat itu barulah kita difahamkan dan akhirnya dapat mengaitkan babak-babak yang hilang atau berteraburan sana-sini dengan persiapan Main Puteri di permulaan serta penutup filem dan kesudahannya yang sebenar.
Jadi, kesimpulan aku untuk filem 'Bunohan'? Satu naskhah yang jujur berada di atas paksi realiti dan mempunyai kelasnya yang tersendiri, mengatasi tahap industri perfileman Malaysia. Memang tak rugi kalau pergi menonton, dan memang rugi kalau tak pergi menonton. Dan seperti peminat seni yang lain, aku harap filem ni dapat jadi fenomena, sebab semestinya aku akan tumpang gembira kalau dapat tengok masyarakat kita celik dan mengangkat karya yang indah sebegini menjadi kebanggaan. Kalau orang asing boleh nampak nilai sebenar 'Bunohan' dan mengangkatnya sebagai karya yang berkualiti, aku sedih kalau masyarakat kita sendiri tak boleh nampak sekurang-kurangnya nilai yang sama walhal kita punya potensi yang lebih untuk memahami isi dan jiwa filem ni. Bukan macam kebanyakan filem kita yang memperlekeh IQ penonton dan tak ada pengisian minda dan jiwa untuk diratah pun. Tak payah sebutlah filem yang mana.
Dan kepada adik-adik, janganlah terpengaruh sangat dengan unsur ganas filem ni. Janganlah lepas ni semua nak kecek Klate sokmo dan bawa lawi ayam ke hulur ke hilir ke, nak gocoh bertomoi dalam kelas ke, nak buat 'Bunohan' version kau orang sendiri ke. Bahaya tu dik. Diorang tu dah training berjam-jam dan pakai fake props, kau pulak nak record kawan-kawan kau berlakon dengan pisau potong sayur pakai camera phone. Silap langkah, dapatlah kau makan nasi tomato percuma untuk dua tiga malam kat tahlil arwah kawan kau. Jadi aku harap kita semua bersikap matang, dan gunakan akal kita untuk menilai apa yang boleh kita teladani dan apa yang harus kita jauhi.
Akhir sekali, buka minda kau luas-luas, dan bersedia untuk menjamu mata, minda dan jiwa. Selamat menonton.
Sesak
Kiri kanan sesak
Depan belakang sesak
Otak pun semakin petak
Badan pun mulai hapak
Ibukota
Kenapa banyak sangat kereta?
LRT dan bas kan ada?
Kenapa semua orang bawa kereta?
Kenapa? Kenapa? Kenapa??
Rumah
Bila nak sampai rumah?
Diri pun semakin resah
Keluar pejabat lima setengah
Kini malam sudah bersinggah
Lebuhraya
Kalau beginilah gayanya
Lebih baik tak ada lebuhraya
Bayar tol pun tak ada guna
Akhirnya semua terkandas jua
Tapi mungkin
Mungkin ada puncanya
Mungkin ada caranya
Mungkin ada penyelesaiannya
Mungkin bila sistem pengangkutan jadi hebat belaka
Aku pun akan naik bas juga