Baru-baru ini aku telah menonton Watchmen, sebuah filem adaptasi dari novel grafik DC Comics dengan judul yang sama. Nah, satu trivia baru buat yang tak tau. Jadi terpakulah aku di depan TV walaupun di zaman aku terjebak sebagai comichead dulu aku tak pernah sukakan DC Comics (sebab aku peminat Marvel dan komik dari Hong Kong). Tapi aku tak keberatan untuk menontonnya, kerana ada banyak sebab yang membuatkan aku terus terpaku menonton sehingga tamat.Nak tau sebab-sebabnya? Teruskanlah membaca :)
Sebagai seorang yang meminati sejarah, aku senang sekali dengan konsep alternate universe yang diciptakan sebagai latar belakang komik/filem ini, di mana Amerika Syarikat dan kepentingan kapitalisnya telah berjaya mengatasi pengaruh Komunis di Asia Tenggara. (Sukacita dimaklumkan, ia hanyalah alternate history. Sejarah yang sebenar telah menyaksikan AS dibelasah teruk oleh tentera gerila Vietkong dalam peperangan jungle warfare di Vietnam).
Walau bagaimanapun, aku tetap tertarik dengan percubaan sinikal penulis Alan Moore menggunakan sudut what-if sebagai latar belakang Watchmen.
“What will happen if imperialist United States won the proxy war against socialist Soviet Union in Vietnam?”
Dan seterusnya dalam dimensi alternate universe itu, pada tahun 1985, rentetan kekalahan Komunis di Asia tenggara bakal membawa pentadbiran Richard Nixon dari Perang Dingin ke suatu tahap yang diakui akan merugikan kedua-dua kuasa besar itu - Perang Nuklear.
Dan ketika umat manusia semakin mendekati kehancuran, watak-watak superhero dalam kumpulan Watchmen juga sedang berkecamuk mencari petunjuk selepas kematian rakan mereka, dan dalam masa yang sama mencari diri mereka sendiri. Kemudian muncul satu lagi bentuk sinikalisme dan ironi di mana selepas membantu AS memenangi peperangan di Vietnam, kumpulan superhero ini kemudiannya diharamkan dan dilabel sebagai penjahat serta pencabul keadilan. Ini disebabkan oleh metodologi mereka yang agak ekstrim dan korup waima atas nama keadilan. Semua itu kemudiannya telah merubah mereka menjadi penjenayah, megalomaniak ataupun menjadi semakin lemah. Alan Moore cuba untuk menggambarkan kehidupan superhero yang bukan sahaja harus mengatasi kejahatan, malah harus mengatasi emosi dan sifat manusia mereka yang terkadangnya memakan diri mereka sendiri.
Dan untuk menyelamatkan umat manusia dari kehancuran yang diciptakan oleh mereka sendiri, watak-watak Watchmen telah mengambil langkah yang agak ekstrim dengan menghalalkan pembunuhan berjuta-juta manusia, untuk menyelamatkan umat keseluruhannya. Dari sudut yang lain, aku nampak penggunaan salah satu falsafah Niccolo Machiavelli yang paling popular telah diserapkan sebagai konklusi cerita ini.
"The end justifies the means."
Dalam The Prince, Machiavelli, seorang pemikir dan ahli falsafah Itali telah memujuk kita untuk mempertimbangkan apa saja cara untuk mencapai kebaikan, samada untuk bangsa, komuniti ataupun kepentingan sendiri semata. Penghalalan segala bentuk cara yang kejam, keji dan kotor untuk mengekalkan kuasa dan status quo; dan apa yang penting ialah hasil daripada perbuatan tersebut. Satu falsafah yang pada aku sangat hina tetapi realitinya telah lama dipraktikkan oleh sesiapa saja yang berada di tampuk kuasa. Tak payahlah aku sebut satu-persatu, nanti habis blog aku dipantau SB.
Dan kalau kau suka menonton filem neo-noir, Watchmen garapan Zack Snyder agak sarat dengan unsur neo-noir, dengan romantisasi penataan cahaya yang suram dan dramatik, plot naratif yang tidak linear merentasi masa dan ruang, serta percubaan untuk mengupas misteri di sebalik pembunuhan salah seorang dari watak Wathcmen. Ya, dalam Watchmen, superhero adalah manusia biasa yang bisa tua, bersara dan mati seperti manusia biasa.
Satu lagi yang agak menarik perhatian aku ialah kecamukan watak protagonis dan antagonis yang sentiasa berubah-ubah dalam plot Watchmen. Paksi di mana hero, anti-hero dan villain berpijak sentiasa bertukar sepanjang cerita. Maknanya di dalam cerita ini yang baik bisa bertukar jahat, dan yang jahat juga adakalanya menunjukkan sisi yang positif. Alan Moore sengaja membiarkan kita, sebagai manusia yang dikurniakan akal menilai sendiri prinsip dan falsafah mana yang sesuai untuk dijadikan tauladan, dan bukannya watak yang memegang prinsip dan falsafah tersebut.
Jadi, kalau kau tak pernah tonton filem Watchmen, aku sarankan kau tonton sementara ianya masih disiarkan di HBO. Kalau kau dah pun tengok, tapi kau tak faham langsung apa yang aku merepek dalam kupasan aku ini, sila tonton semula. Kalau kau sibuk tengok kostum dan adegan lawan saja, memanglah kau takkan dapat apa-apa. Kali ini jangan tonton dengan mata kasar, tetapi dengan mata hati. :)