23.2.12

Sesak
Kiri kanan sesak
Depan belakang sesak
Otak pun semakin petak
Badan pun mulai hapak

Ibukota
Kenapa banyak sangat kereta?
LRT dan bas kan ada?
Kenapa semua orang bawa kereta?
Kenapa? Kenapa? Kenapa??

Rumah
Bila nak sampai rumah?
Diri pun semakin resah
Keluar pejabat lima setengah
Kini malam sudah bersinggah

Lebuhraya
Kalau beginilah gayanya
Lebih baik tak ada lebuhraya
Bayar tol pun tak ada guna
Akhirnya semua terkandas jua

Tapi mungkin
Mungkin ada puncanya
Mungkin ada caranya
Mungkin ada penyelesaiannya
Mungkin bila sistem pengangkutan jadi hebat belaka
Aku pun akan naik bas juga

Tapi bila ya?

Posted on Thursday, February 23, 2012 by AK

No comments

9.2.11

on hiatus
mind is currently not functioning

Posted on Wednesday, February 09, 2011 by AK

No comments

27.12.10

Masa aku terkandas dekat Stadium Bukit Jalil lepas Malaysia membelasah Indonesia semalam, berlaku sesuatu yang membuatkan aku rasa terharu. Masa tu jalan memang sesak dengan penonton yang nak pulang. Kereta dan motosikal berhimpit-himpit. Pejalan kaki pun ramai, macam semut-semut yang keluar dari sarang tapi berselerakan. Bendera Malaysia pun berkibar di sana-sini macam 31 Ogos.

Tapi tiba-tiba suasana yang dah memang riuh tu menjadi semakin gamat. Kawasan tu bergegar dengan sorakan,dan aku lihat kesemua penyokong Malaysia yang ada di situ bersorak dan bertepuk tangan seraya memandang sebuah bas yang penuh dengan penyokong Indonesia. Dan kelihatan dalam bas tu penyokong-penyokong Indonesia sedang berdiri sambil melontar isyarat bagus, dan ada yang memberi tabik hormat. Yang lebih mengharukan, penyokong-penyokong Malaysia yang berdekatan bas tu pulak membalas dengan menunduk tanda hormat ala kowtow dan menepuk tangan!

Tersenyum lebar bila aku tengok kejadian tu. Seronok dapat saksikan semangat kesukanan di tahap tertinggi antara kedua-dua negara jiran yang sering terlibat dengan konfrantasi yang bangang-bangang ni.

Aku rasa kalau kita dapat belajar memahami antara satu sama lain dan cuba terima yang kita ni adalah saudara serumpun, Malaysia dan Indonesia boleh menjadi sekutu yang hebat sebenarnya. Nasi dalam periuk kalau dicedok ke pinggan, bukankah masih lagi nasi?




Posted on Monday, December 27, 2010 by AK

1 comment

8.12.10

"Snap!"

Hmm, dia putus lagi.

Nampaknya akan makan berhari-hari kalau nak kembalikan ke asal. Hari tu dah putus, hari ni putus lagi. Petanda apa agaknya ni? 

Biarlah, aku malas nak fikir tentang petanda. Aku bukannya Nostradamus.

Posted on Wednesday, December 08, 2010 by AK

No comments

27.11.10

Sekonyong-konyongnya
Lidah yang lembut dan bibir nan bersahaja
Menghamburkan persepsi lapuk dan memualkan
Bagai poster-poster Along yang berkulat di dinding usang

Dikoyak, ditampal lagi
Dikoyak, ditampal lagi
Dikoyak, ditampal lagi

Semakin lama semakin banyak!

Penipu
Semuanya penipu
Baik yang timur mahupun barat
Sang Kelembai di utara hilang kuasa
Bila sumpahannya tak lagi menjadi batu
Dan si penipu teruslah menipu

Bedebah
Lalu harus bagaimana?
Daki sudah bertukar kurap
Kurap semakin menjadi parut
Tapi bila kononnya mata terbuka
Lantas tangan diangkat tinggi
Tapi muka pantas disembunyi
Dinding yang nampak teguh
Rupanya rapuh pasaknya
Rupanya masih buta mata cakranya

Jadi di manakah kekuatannya?
Jika semuanya ditelan jerangkap
Individualisme itu telah lama berakar
Busuk bagaikan bangkai
Palsu bagaikan kaca

Dan akhirnya siapa yang binasa?
Kau, dia dan aku yang tak diulit kuasa
Kerana kita umpama kambing-kambing peliharaan
Hari ini diberi makan
Esok lusa jadi santapan

Posted on Saturday, November 27, 2010 by AK

No comments

25.11.10

Baru-baru ini aku telah menonton Watchmen, sebuah filem adaptasi dari novel grafik DC Comics dengan judul yang sama. Nah, satu trivia baru buat yang tak tau. Jadi terpakulah aku di depan TV walaupun di zaman aku terjebak sebagai comichead dulu aku tak pernah sukakan DC Comics (sebab aku peminat Marvel dan komik dari Hong Kong). Tapi aku tak keberatan untuk menontonnya, kerana ada banyak sebab yang membuatkan aku terus terpaku menonton sehingga tamat.Nak tau sebab-sebabnya? Teruskanlah membaca :)


Sebagai seorang yang meminati sejarah, aku senang sekali dengan konsep alternate universe yang diciptakan sebagai latar belakang komik/filem ini, di mana Amerika Syarikat dan kepentingan kapitalisnya telah berjaya mengatasi pengaruh Komunis di Asia Tenggara. (Sukacita dimaklumkan, ia hanyalah alternate history. Sejarah yang sebenar telah menyaksikan AS dibelasah teruk oleh tentera gerila Vietkong dalam peperangan jungle warfare di Vietnam).

Walau bagaimanapun, aku tetap tertarik dengan percubaan sinikal penulis Alan Moore menggunakan sudut what-if sebagai latar belakang Watchmen.

“What will happen if imperialist United States won the proxy war against socialist Soviet Union in Vietnam?”

Dan seterusnya dalam dimensi alternate universe itu, pada tahun 1985, rentetan kekalahan Komunis di Asia tenggara bakal membawa pentadbiran Richard Nixon dari Perang Dingin ke suatu tahap yang diakui akan merugikan kedua-dua kuasa besar itu - Perang Nuklear. 


Dan ketika umat manusia semakin mendekati kehancuran, watak-watak superhero dalam kumpulan Watchmen juga sedang berkecamuk mencari petunjuk selepas kematian rakan mereka, dan dalam masa yang sama mencari diri mereka sendiri. Kemudian muncul satu lagi bentuk sinikalisme dan ironi di mana selepas membantu AS memenangi peperangan di Vietnam, kumpulan superhero ini kemudiannya diharamkan dan dilabel sebagai penjahat serta pencabul keadilan. Ini disebabkan oleh metodologi mereka yang agak ekstrim dan korup waima atas nama keadilan. Semua itu kemudiannya telah merubah mereka menjadi penjenayah, megalomaniak ataupun menjadi semakin lemah. Alan Moore cuba untuk menggambarkan kehidupan superhero yang bukan sahaja harus mengatasi kejahatan, malah harus mengatasi emosi dan sifat manusia mereka yang terkadangnya memakan diri mereka sendiri. 

Dan untuk menyelamatkan umat manusia dari kehancuran yang diciptakan oleh mereka sendiri, watak-watak Watchmen telah mengambil langkah yang agak ekstrim dengan menghalalkan pembunuhan berjuta-juta manusia, untuk menyelamatkan umat keseluruhannya. Dari sudut yang lain, aku nampak penggunaan salah satu falsafah Niccolo Machiavelli yang paling popular telah diserapkan sebagai konklusi cerita ini. 

"The end justifies the means."

Dalam The Prince, Machiavelli, seorang pemikir dan ahli falsafah Itali telah memujuk kita untuk mempertimbangkan apa saja cara untuk mencapai kebaikan, samada untuk bangsa, komuniti ataupun kepentingan sendiri semata. Penghalalan segala bentuk cara yang kejam, keji dan kotor untuk mengekalkan kuasa dan status quo; dan apa yang penting ialah hasil daripada perbuatan tersebut. Satu falsafah yang pada aku sangat hina tetapi realitinya telah lama dipraktikkan oleh sesiapa saja yang berada di tampuk kuasa. Tak payahlah aku sebut satu-persatu, nanti habis blog aku dipantau SB.

Dan kalau kau suka menonton filem neo-noir, Watchmen garapan Zack Snyder agak sarat  dengan unsur neo-noir, dengan romantisasi penataan cahaya yang suram dan dramatik, plot naratif yang tidak linear merentasi masa dan ruang, serta percubaan untuk mengupas misteri di sebalik pembunuhan salah seorang dari watak Wathcmen. Ya, dalam Watchmen, superhero adalah manusia biasa yang bisa tua, bersara dan mati seperti manusia biasa. 

Satu lagi yang agak menarik perhatian aku ialah kecamukan watak protagonis dan antagonis yang sentiasa berubah-ubah dalam plot Watchmen. Paksi di mana hero, anti-hero dan villain berpijak sentiasa bertukar sepanjang cerita. Maknanya di dalam cerita ini yang baik bisa bertukar jahat, dan yang jahat juga adakalanya menunjukkan sisi yang positif. Alan Moore sengaja membiarkan kita, sebagai manusia yang dikurniakan akal menilai sendiri prinsip dan falsafah mana yang sesuai untuk dijadikan tauladan, dan bukannya watak yang memegang prinsip dan falsafah tersebut.

Jadi, kalau kau tak pernah tonton filem Watchmen, aku sarankan kau tonton sementara ianya masih disiarkan di HBO. Kalau kau dah pun tengok, tapi kau tak faham langsung apa yang aku merepek dalam kupasan aku ini, sila tonton semula. Kalau kau sibuk tengok kostum dan adegan lawan saja, memanglah kau takkan dapat apa-apa. Kali ini jangan tonton dengan mata kasar, tetapi dengan mata hati. :)

Posted on Thursday, November 25, 2010 by AK

No comments

12.11.10

Bungkus!
Usah berlengah lagi
Tak perlu berfikir panjang
Terus berkemas dengan tenang
Bila Rumi dan Juli sepasang mengangkang
Yang pendek di lima yang panjang di utara
Ayuh teruslah kosongkan meja

Cepat, cepat!
Fikiran sudah melayang sampai ke anjung rumah
Badan saja masih dipasung di sini
Lekas lekas jangan berlengah
Pantaslah berundur lesapkan diri

Lalu ajukanlah salam penghujung kata
Buat mereka yang sedang leka
Bersungguh-sungguh bermain Facebook Poker
(Cis, mentang-mentanglah Bos tak ada)

"Wahai rakan sekerja semua
Jam sudah menunjukkan pukul lima
Duduk sini lama-lama pun bukannya boleh kaya
Jadi..Assalamualaikum, aku beransur balik dulu ya!"

Posted on Friday, November 12, 2010 by AK

1 comment

2.11.10

Hari ini kau ketawa, mungkinkah esok kau kan menangis?
Hari ini kau sihat, mungkinkah esok kau jatuh sakit?
Hari ini deriamu sempurna, mungkinkah esok kan hilang upayanya?
Hari ini kau juara, mungkinkah esok kau kan rebah dan kalah?
Hari ini kaulah raja, mungkinkah esok kau kan jadi hamba?
Hari ini kau yang jelak, mungkinkah esok kau yang mendamba?
Hari ini kau molek, mungkinkah esok kan bertukar jelek?
Hari ini kau berharta, mungkinkah esok papa kedana?
Hari ini kau merasakan cinta, mungkinkah esok rasa itu mati?
Hari ini kaulah kawan, mungkinkah esok kau bertukar lawan? 
Hari ini kau disanjung dipuja, mungkinkah esok dicaci dihina?
Hari ini kau masih di sini, mungkinkah esok kisahmu terhenti?

*Percubaan pertama setelah berlalunya Oktober yang mengarut.

Posted on Tuesday, November 02, 2010 by AK

3 comments

17.10.10

Bulan Oktober 2010, memang antara bulan yang paling aku tak suka dalam tahun ni. Kenapa, kau tanya?

Ada macam-macam sebab musabab yang membuatkan aku berdoa agar pantas sampai ke penghujung bulan. Tapi aku nak kongsi satu dua saja dengan kau. Yang lain tu biarlah aku simpan sendiri. Kau pun takkan berminat nak tahu.

Bulan ni aku tersangatlah sibuk. Sibuk dengan kerja setiap minggu membuatkan aku ketiadaan masa untuk lepak dengan sahabat handai. Dengan keluarga pun setakat berselisih sekali-sekala, kurang berbual panjang. Kerjaya yang aku pilih ni tak menentu tuntutannya, bila sampai waktu sibuk memang boleh sampai ke tengah malam. Kadang-kadang berhari-hari lamanya. Terkadang tu hujung minggu pun aku terpaksa bekerja.

Kepada sahabat handai, aku susun sepuluh jari dan minta maaf kerana berperangai anti sosial bulan ni. Tapi usah gundah, ada kelapangan nanti kita lepak sekali sampai kau: A) menyampah tengok muka aku B) muntah darah dan menggelupur kesejukan kerana overdosed lepak dengan aku C) pura-pura jawab telefon dan minta diri atau D) memulakan larian balik ke rumah kerana dah tak larat melayan aku.

Berbalik kepada sebab kenapa aku tak suka bulan Oktober ni. Oleh kerana kesibukan melangsaikan tanggungjawab kerja yang bertimpa-timpa dalam bulan ni, maka kuranglah masa dan idea untuk aku mencoret di sini. Bila tubuh dan minda dipusatkan pada day job, gen artistik dalam otak aku ni pun jadi malas. Jangan kata bekerja, menggeliat pun tak mahu.

Memang sekarang ni aku sedang kontang melayari writer's block. Untuk pengetahuan, writer's block itu adalah terma penulisan yang merujuk kepada situasi kekontangan idea yang dihadapi seseorang penulis. Dan dalam situasi ini, seorang penulis mungkin akan menjadi ultra selektif dalam menyaring ideanya akibat inferiority complex yang wujud akibat kekontangan idea yang terlalu lama. Rasa takut kalau-kalau idea yang disajikan tak menarik. Itu pun kalau idea datang menyinggah. Kalau tak, lagilah parah. Jadilah macam aku, dan sajikan bahan-bahan mengarut macam ni untuk santapan umum. Sebab itu aku sangat tak suka bulan ni. Memang mengarut.

Hish cepatlah sampai hujung bulan!!

Posted on Sunday, October 17, 2010 by AK

2 comments

19.9.10

Hari ini aku bersedih.
Hari ini dalam diam aku menangis.
Hari ini separuh jiwaku pergi meninggalkan aku. 
Hari ini bermulalah kembali hidup berintikan kekosongan.

Satu-satunya motivasi aku untuk bawa kereta macam pelesit supaya cepat sampai ke rumah dari tempat kerja, kini dah pergi. Satu-satunya insan yang akan aku cari tiap kali melangkah masuk ke rumah, kini dah pergi. Satu-satunya insan yang boleh buatkan aku lupa pada segala masalah hidup, kini dah pergi. Satu-satunya insan yang acapkali membuatkan aku ketawa terharu, kini dah pergi. Satu-satunya insan yang aku cari siang dan malam tak mengira waktu, kini dah pergi. Satu-satunya insan yang bisa membuatkan aku kebal dari unsur luar yang boleh mengalpakan aku dari keluargaku, kini dah pergi. DAH PERGI!! DAH PERGI JAUH!!

Sedih. Dah lama aku tak rasa sesedih ini. Sialan. Kenapa mesti pergi? Kenapa mesti buat aku gembira seketika, hanya untuk melayan lara bila kau dah tak ada. Sekarang aku nak cari siapa bila pulang ke rumah? Tok Ayah dan Tok Mi pun sedih sangat bila Iwan tak ada, tau tak?

Sorry sebab Uncle tak hantar Iwan pergi airport pagi tadi. Bukannya Uncle malas, tapi Uncle pura-pura malas. Sebenarnya Uncle tak sanggup nak tengok Iwan pergi. Tak sanggup nak tengok drama air mata perpisahan Mummy dan Tok Mi di balai berlepas. Tak sanggup nak tengok lambaian terakhir Iwan.

Sorry juga sebab dua tiga hari ni Uncle tak layan sangat Iwan, Mummy dan Daddy Iwan sebelum korang balik Tokyo. Sebab Uncle nak biasakan diri bila Iwan dah tak ada. Nak biasakan diri dengan kesunyian. Nak biasakan diri supaya senang Uncle nak move on.

Tapi nampak gayanya, susah juga nak lalui jalan ni. Mungkin agak lama aku akan berada di petak ni. Sialan!!

Ahhhh!! Tunggulah Uncle datang Nippon lagi tahun depan OK, Tweety Bird?


Posted on Sunday, September 19, 2010 by AK

No comments